Kekili Jigging
Kedua-dua jenis kekili sama ada kekili menegak (multiplier) atau
kekili mendatar (spinning) sesuai digunakan untuk jigging. Terpulanglah
kepada kesesuaian dan kegemaran masing-masing.
Antara kekili menegak yang sinonim dengan aktiviti jigging ialah
seperti Shimano Ocea Jigger, Shimano Kaikon, Daiwa Saltiga Z, Accurate
Boss Magnum, Avet JX. Pemilihan kekili menegak yang sesuai adalah
penting kerana kekili yang tirus (narrow) adalah lebih sesuai berbanding
dengan yang lebar kerana ini akan memudahkan tali dikarau tanpa perlu
disusun. Hampir semua kekili mendatar untuk jigging tidak mempunya level
wind. Kekili yang tirus juga lebih ringan dan lebih mudah dikawal
ketika berentap dengan mangsa.
Sementara kekili mendatar yang popular pula ialah seperti Shimano
Stella, Twinpower, Biomaster, Ultegra dan Navi. Daiwa mengeluarkan
kekili seperti Saltiga Series. Ada juga yang menggunakan Penn
Spinfisher. Yang penting, ratio kelajuan mestilah tinggi dan mempunyai
sistem tegangan (drag) yang berkualiti. Drag yang berkualiti amatlah
diperlukan untuk menghentikan larian mangsa ke struktur tajam dan
bergerigi seperti batu karam atau kapal karam yang akan memutuskan tali.
Joran Jigging
Joran jigging mestilah halus, ringan tetapi lasak. Panjangnya antara
4.5 kaki hingga 6 kaki. Agak sukar untuk mendapatkan joran yang
berkualiti tetapi murah harganya. Antara joran yang terkenal ialah
Zenaq, Tenryu, Carpenter, Fisherman, Smith, Zenith. You get what you
paid kata orang putih. Kebanyakan joran jigging yang berkualiti agak
mahal harganya sehingga mencecah RM dua ribu. Tetapi usah gusar kerana
terdapat juga rod-rod yang berkualiti yang dikeluarkan oleh jenama
tertentu yang sesuai untuk light dan medium jigging seperti Genesis
Jigshaft, Shino, Shimano, Lemax dan beberapa jenama keluaran tempatan.
Jenis-jenis Jig
Terdapat pelbagai jenis jig di pasaran daripada pelbagai jenama berdasarkan saiz, warna dan bentuk.
Adalah sukar untuk mengatakan jig yang manakah yang lebih berkesan
daripada jig yang lain. Perkara yang paling penting ialah menyesuaikan
saiz jig berdasarkan kedalaman air dan perlatan yang digunakan. Secara
umummnya, saiz jig berubah bagi setiap 100 kaki. Misalnya, kedalaman 100
kaki amat sesuai menggunakan jig bersaiz 100g dan begitulah seterusnya
jig yang semakin besar digunakan apabila air semakin dalam. Pemilihan
saiz yang besar ini akan mempercepatkan jig jatuh ke dasar. Begitu juga
saiz jig mestilah disesuaikan dengan arus pada masa itu. Sekiranya arus
agak laju, saiz jig yang sesuai perlu digunakan untuk memastikan jig
jatuh betul-betul di kawasan yang sudah dikenalpasti kawasan ikan
bermain dan tidak tersasar akibat dibawa arus. Sebagai panduan, jig yang
dipilih juga boleh disesuaikan dengan ikan-ikan umpan (bait fish) yang
bermain-main di kawasan itu.
Warna jig juga memainkan peranan. Apabila jigging pada waktu malam,
jig jenis night glow atau pun luminous adalah pilihan yang utama. Spesis
seperti cupak dan tenggiri amat mudah diperdayakan dengan jig malahan
dalam banyak keadaan lebih tertarik untuk meratah kepingan besi daripada
mencium umpan hidup. Untuk memudahkan dan membuat eksperimen, pastikan
kotak jig anda mengandungi pilihan pelbagai jenis warna untuk
disesuaikan dengan spesis-spesis yang berlainan dan tempat yang
berlainan.
Jig-jig yang lebih ringan biasanya digunakan untuk memperdayakan
spesis-spesis pelagik seperti tongkol, cupak dan tenggiri. Jig biasanya
dilontar agak jauh dari bot dan dikarau dengan cara mengangkat tinggi
hujung joran dan mengarau dengan laju apabila menjatuhkan joran seperti
anda sedang mengepam joran. Manakala jig yang berat pula digunakan untuk
memperdayakan spesis dasar seperti aji-aji dan kerapu. Jig dikarau laju
sambil mengangkat sedikit sahaja joran atau dikenali sebagai fast short
stroke. Kekili dipusing laju sekali sambil menghenjut joran dengan
pantas.
Mata Pancing (Assist Hooks)
Sebarang mata pancing boleh digunakan tetapi sememangnya ada mata
pancing yang dijual untuk dipadankan dengan jig anda. Yang penting anda
perlulah mengikat mata pancing tersebut menggunakan sejenis tali yang
dipanggil kevlar (selalunya berwarna merah) . Ada yang mengatakan bahawa
penggunaan tali kevlar itu sendiri akan menarik minat ikan. Namun yang
lebih penting penggunaan tali itu adalah untuk mengelakkan daripada jig
anda tersangkut di dasar. Mata pancing yang dipadankan dengan jig
seharusnya lebih lebar daripada kelebaran jig anda.
Tali
Penggunaan tali sulam adalah satu kemestian dalam berjigging. Tali
sulam bukan sahaja dapat memotong air dengan lebih cepat, kurang daya
regang, sensitif tetapi yang paling penting diameternya yang kecil akan
membolehkan lebih banyak tali disisi dalam gelendung kekili anda. Jangan
kita lupa bahawa keseronokan berjigging adalah menggunakan peralatan
pancing yang kecil dan ringan untuk menawan mangsa bagak.
Orang-orang Barat menggelarkan tali sulam sebagai dyneema atau
spectra tetapi orang Jepun memanggilnya sebagai tali PE. Tali PE Jepun
yang popular selalunya mempunyai warna yang berlainan untuk setiap 10
meter. Ini untuk membolehkan pemancing mengenalpasti tahap kedalaman
tertentu ikan mengasak jig. Namun, penggunaan tali berwarna ini juga
kadang-kala menimbulkan masalah tertutamanya apabila banyak “tukang
gunting” berkeliaran di kawasan tersebut dan amat tertarik dengan
warna-warni tali tersebut.
Terdapat pelbagai tali sulam di pasaran dan yang paling popular di
kalangan kaki jigging ialah seperti Power Pro, Berkley Whiplash, YGK,
Varivas, Gosen, Zenaq Jigger Thrust dan sebagainya. Janganlah terlalu
berkira untuk membeli tali sulam yang berkualiti jika anda mahu menjadi
mat jigging kerana kejayaan menewaskan spesis-spesis bagak banyak juga
dipengaruhi oleh tali sulam yang berkualiti. Lagipun, tali sulam tidak
mempunyai memori yang kalau dijaga dengan baik akan bertahan dalam
tempoh yang lama walaupun warnanya luntur sekali pun. Tali sulam juga
tidak akan rosak kalau berlilit dan diuraikan semula tidak seperti
tangsi yang tentunya akan menjadi kerinting selepas sesi mesyuarat yang
panjang.
Perambut (Leaders)
Penggunaan perambut adalah mustahak terutama untuk medium dan heavy
jigging. Memandangkan tali sulam tidak mempunyai regangan, tali ini akan
mudah putus apabila direntap secara tiba-tiba. Oleh sebab itulah
perambut tangsi amat diperlukan. Perambut tangsi atau perambut kejutan
mono (mono shock leader) ini diperbuat khas untuk tujuan jigging dan
berlainan dengan perambut biasa. Kaki-kaki jigging pro selalunya
menggunakan perambut jenis Fluorocarbon yang lebih lasak menahan geseran
dan kurang kelihatan di dalam air yang dikenali juga sebagai perambut
hantu. Tetapi perambut ini seperti Seaguar, Suffix Invisiline, Berkley
Vanish agak mahal harganya.
Berapa panjangkah perambut ini? Tidak ada formula yang khusus
sebenarnya. Yang penting, apabila ikan sudah berada di birai bot, anda
tidak mahu memegang tali sulam yang tajam itu atau pun tali sulam anda
bergesel pada birai bot yang akan memutuskannya tanpa anda sedari. Saya
selalu menggunakan kaedah lima kali panjang joran untuk menyukat panjang
perambut.
Satu masalah lagi. Bagaimana mahu menyambung tali sulam dengan
perambut mono? Agak susah juga untuk dilakukan tetapi alah bisa tegal
biasa. Banyak jenis ikatan yang diperkenalkan seperti double bimini
twist atau uni to uni knot dan sebagainya. Tetapi ikatan yang paling
digemari oleh kaki jigging ialah ikatan FG atau Mid knot.
Read more >>