Monday, December 20, 2010

Peralatan Jigging

Kekili Jigging

Kedua-dua jenis kekili sama ada kekili menegak (multiplier) atau kekili mendatar (spinning) sesuai digunakan untuk jigging. Terpulanglah kepada kesesuaian dan kegemaran masing-masing.

Antara kekili menegak yang sinonim dengan aktiviti jigging ialah seperti Shimano Ocea Jigger, Shimano Kaikon, Daiwa Saltiga Z, Accurate Boss Magnum, Avet JX. Pemilihan kekili menegak yang sesuai adalah penting kerana kekili yang tirus (narrow) adalah lebih sesuai berbanding dengan yang lebar kerana ini akan memudahkan tali dikarau tanpa perlu disusun. Hampir semua kekili mendatar untuk jigging tidak mempunya level wind. Kekili yang tirus juga lebih ringan dan lebih mudah dikawal ketika berentap dengan mangsa.

Sementara kekili mendatar yang popular pula ialah seperti Shimano Stella, Twinpower, Biomaster, Ultegra dan Navi. Daiwa mengeluarkan kekili seperti Saltiga Series. Ada juga yang menggunakan Penn Spinfisher. Yang penting, ratio kelajuan mestilah tinggi dan mempunyai sistem tegangan (drag) yang berkualiti. Drag yang berkualiti amatlah diperlukan untuk menghentikan larian mangsa ke struktur tajam dan bergerigi seperti batu karam atau kapal karam yang akan memutuskan tali.

Joran Jigging

Joran jigging mestilah halus, ringan tetapi lasak. Panjangnya antara 4.5 kaki hingga 6 kaki. Agak sukar untuk mendapatkan joran yang berkualiti tetapi murah harganya. Antara joran yang terkenal ialah Zenaq, Tenryu, Carpenter, Fisherman, Smith, Zenith. You get what you paid kata orang putih. Kebanyakan joran jigging yang berkualiti agak mahal harganya sehingga mencecah RM dua ribu. Tetapi usah gusar kerana terdapat juga rod-rod yang berkualiti yang dikeluarkan oleh jenama tertentu yang sesuai untuk light dan medium jigging seperti Genesis Jigshaft, Shino, Shimano, Lemax dan beberapa jenama keluaran tempatan.


Jenis-jenis Jig

Terdapat pelbagai jenis jig di pasaran daripada pelbagai jenama berdasarkan saiz, warna dan bentuk.

Adalah sukar untuk mengatakan jig yang manakah yang lebih berkesan daripada jig yang lain. Perkara yang paling penting ialah menyesuaikan saiz jig berdasarkan kedalaman air dan perlatan yang digunakan. Secara umummnya, saiz jig berubah bagi setiap 100 kaki. Misalnya, kedalaman 100 kaki amat sesuai menggunakan jig bersaiz 100g dan begitulah seterusnya jig yang semakin besar digunakan apabila air semakin dalam. Pemilihan saiz yang besar ini akan mempercepatkan jig jatuh ke dasar. Begitu juga saiz jig mestilah disesuaikan dengan arus pada masa itu. Sekiranya arus agak laju, saiz jig yang sesuai perlu digunakan untuk memastikan jig jatuh betul-betul di kawasan yang sudah dikenalpasti kawasan ikan bermain dan tidak tersasar akibat dibawa arus. Sebagai panduan, jig yang dipilih juga boleh disesuaikan dengan ikan-ikan umpan (bait fish) yang bermain-main di kawasan itu.

Warna jig juga memainkan peranan. Apabila jigging pada waktu malam, jig jenis night glow atau pun luminous adalah pilihan yang utama. Spesis seperti cupak dan tenggiri amat mudah diperdayakan dengan jig malahan dalam banyak keadaan lebih tertarik untuk meratah kepingan besi daripada mencium umpan hidup. Untuk memudahkan dan membuat eksperimen, pastikan kotak jig anda mengandungi pilihan pelbagai jenis warna untuk disesuaikan dengan spesis-spesis yang berlainan dan tempat yang berlainan.

Jig-jig yang lebih ringan biasanya digunakan untuk memperdayakan spesis-spesis pelagik seperti tongkol, cupak dan tenggiri. Jig biasanya dilontar agak jauh dari bot dan dikarau dengan cara mengangkat tinggi hujung joran dan mengarau dengan laju apabila menjatuhkan joran seperti anda sedang mengepam joran. Manakala jig yang berat pula digunakan untuk memperdayakan spesis dasar seperti aji-aji dan kerapu. Jig dikarau laju sambil mengangkat sedikit sahaja joran atau dikenali sebagai fast short stroke. Kekili dipusing laju sekali sambil menghenjut joran dengan pantas.

Mata Pancing (Assist Hooks)

Sebarang mata pancing boleh digunakan tetapi sememangnya ada mata pancing yang dijual untuk dipadankan dengan jig anda. Yang penting anda perlulah mengikat mata pancing tersebut menggunakan sejenis tali yang dipanggil kevlar (selalunya berwarna merah) . Ada yang mengatakan bahawa penggunaan tali kevlar itu sendiri akan menarik minat ikan. Namun yang lebih penting penggunaan tali itu adalah untuk mengelakkan daripada jig anda tersangkut di dasar. Mata pancing yang dipadankan dengan jig seharusnya lebih lebar daripada kelebaran jig anda.

Tali

Penggunaan tali sulam adalah satu kemestian dalam berjigging. Tali sulam bukan sahaja dapat memotong air dengan lebih cepat, kurang daya regang, sensitif tetapi yang paling penting diameternya yang kecil akan membolehkan lebih banyak tali disisi dalam gelendung kekili anda. Jangan kita lupa bahawa keseronokan berjigging adalah menggunakan peralatan pancing yang kecil dan ringan untuk menawan mangsa bagak.

Orang-orang Barat menggelarkan tali sulam sebagai dyneema atau spectra tetapi orang Jepun memanggilnya sebagai tali PE. Tali PE Jepun yang popular selalunya mempunyai warna yang berlainan untuk setiap 10 meter. Ini untuk membolehkan pemancing mengenalpasti tahap kedalaman tertentu ikan mengasak jig. Namun, penggunaan tali berwarna ini juga kadang-kala menimbulkan masalah tertutamanya apabila banyak “tukang gunting” berkeliaran di kawasan tersebut dan amat tertarik dengan warna-warni tali tersebut.

Terdapat pelbagai tali sulam di pasaran dan yang paling popular di kalangan kaki jigging ialah seperti Power Pro, Berkley Whiplash, YGK, Varivas, Gosen, Zenaq Jigger Thrust dan sebagainya. Janganlah terlalu berkira untuk membeli tali sulam yang berkualiti jika anda mahu menjadi mat jigging kerana kejayaan menewaskan spesis-spesis bagak banyak juga dipengaruhi oleh tali sulam yang berkualiti. Lagipun, tali sulam tidak mempunyai memori yang kalau dijaga dengan baik akan bertahan dalam tempoh yang lama walaupun warnanya luntur sekali pun. Tali sulam juga tidak akan rosak kalau berlilit dan diuraikan semula tidak seperti tangsi yang tentunya akan menjadi kerinting selepas sesi mesyuarat yang panjang.

Perambut (Leaders)

Penggunaan perambut adalah mustahak terutama untuk medium dan heavy jigging. Memandangkan tali sulam tidak mempunyai regangan, tali ini akan mudah putus apabila direntap secara tiba-tiba. Oleh sebab itulah perambut tangsi amat diperlukan. Perambut tangsi atau perambut kejutan mono (mono shock leader) ini diperbuat khas untuk tujuan jigging dan berlainan dengan perambut biasa. Kaki-kaki jigging pro selalunya menggunakan perambut jenis Fluorocarbon yang lebih lasak menahan geseran dan kurang kelihatan di dalam air yang dikenali juga sebagai perambut hantu. Tetapi perambut ini seperti Seaguar, Suffix Invisiline, Berkley Vanish agak mahal harganya.

Berapa panjangkah perambut ini? Tidak ada formula yang khusus sebenarnya. Yang penting, apabila ikan sudah berada di birai bot, anda tidak mahu memegang tali sulam yang tajam itu atau pun tali sulam anda bergesel pada birai bot yang akan memutuskannya tanpa anda sedari. Saya selalu menggunakan kaedah lima kali panjang joran untuk menyukat panjang perambut.

Satu masalah lagi. Bagaimana mahu menyambung tali sulam dengan perambut mono? Agak susah juga untuk dilakukan tetapi alah bisa tegal biasa. Banyak jenis ikatan yang diperkenalkan seperti double bimini twist atau uni to uni knot dan sebagainya. Tetapi ikatan yang paling digemari oleh kaki jigging ialah ikatan FG atau Mid knot.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Loading...

wibiya widget