Sunday, December 19, 2010

Malang tidak berbau....

Berikut adalah petikan yang di ambil dari Joran Berita Harian mengenai amaran di musim tengkujuh.


KUALA LUMPUR: Setiap kali musim tengkujuh menjengah tiba, ada saja cerita mengenai kematian akibat lemas dihanyut banjir gara-gara sikap alpa orang ramai terhadap anak-anak mereka, ataupun keengganan mereka mematuhi arahan berpindah yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Kematian akibat banjir seharusnya menjadi iktibar kepada segenap lapisan masyarakat untuk meningkatkan pengawasan ke atas anak serta kanak-kanak lain supaya tidak mengambil lewa aspek keselamatan ketika menghadapinya.

Tidak dinafikan ajal maut adalah ketetapan Allah tetapi itu bukan alasan memandang remeh aspek keselamatan seperti membiarkan anak bermain air banjir sesuka hati sebaliknya sentiasa mengingatkan diri supaya berpegang pepatah Melayu, `Beringat sebelum kena'.

Amat penting bagi kita memberi perhatian terhadap kanak-kanak, dalam keseronokan mereka bermain air yang dianggap sebagai aktiviti biasa ketika musim banjir tetapi hakikatnya, kita tidak tahu apa akan berlaku. Banyak cara boleh dilakukan ibu bapa untuk berhadapan dengan kerenah anak yang suka bermain air banjir dengan selalu memberi nasihat serta peringatan akan bahaya jika tidak berhati-hati.

Pada masa sama, ibu bapa atau penjaga hendaklah mengawasi pergerakan anak pada musim banjir. Janganlah, bila sudah tersandung, baru hendak terngadah.

Sebaiknya, selepas berusaha menjaga keselamatan keluarga dengan baik melalui langkah yang diambil, banyakkan berdoa memohon supaya dijauhkan daripada perkara buruk serta diberi kesabaran menghadapi dugaan banjir.

Bagi sesetengah kaki pancing, musim tengkujuh sebegini menjadi kegemaran untuk keluar memancing kerana mendakwa ketika inilah ikan besar yang keluar. Nasihat kepada mereka janganlah terlalu mementingkan hasil tangkapan dan pada masa yang sama soal keselamatan diketepikan.

Mereka harus ingat tragedi yang menimpa saban kali tibanya musim tengkujuh, ada saja nelayan hilang ataupun meninggal dunia kerana bot mereka dipukul ombak. Malah, sehingga kini kisah seorang nelayan di Mersing, Johor yang hilang lima tahun lalu masih belum ditemui.

Sepatutnya pada musim tengkujuh ini, adalah masa paling sesuai untuk kaki pancing berehat daripada turun ke laut. Seboleh-bolehnya duduk di rumah membersihkan segala peralatan memancing atau membaiki segala kerosakan bot dan sebagainya. Kalau terlalu gian hendak memancing, mereka bolehlah mengunjungi kolam komersial, tasik atau lombong yang jauh lebih selamat atau kurang risiko.

Begitu juga elakkan memancing di tepi sungai berarus deras kerana tebingnya tidak stabil lebih-lebih dalam ketika hujan. Pada masa elakkan menggunakan joran yang mudah disambar petir (maklumat boleh didapati di kedai menjual peralatan memancing).
Kepada mereka yang mengambil kesempatan memasang pukat atau jala ketika banjir, perlulah berhati-hati. Mereka seharus mengetahui lokasi atau lubuk yang hendak dipasang pukat, kalau boleh hindari tempat merbahaya seperti reba kayu, kawasan jeram dan sebagainya.

Kita juga terlupa air ialah pengalir elektrik dan jika rumah ditenggelami banjir, kemungkinan penghuninya terkena renjatan elektrik amat besar berikutan palam elektrik yang terendam atau kemungkinan ada kabel yang terputus menyebabkan arus elektrik boleh mengalir di dalam air.

Jika ternampak tiang elektrik tumbang dan terendam di dalam air atau ada kabel talian Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terputus, segeralah hubungan talian khidmat TNB (15454) bagi mengelak ada yang menjadi mangsa terkena renjatan elektrik.

Musibah di musim banjir boleh dielakkan sekiranya kita peka dengan maklumat terkini yang disampaikan pihak berkuasa sama ada di radio, televisyen, akhbar mahupun internet, serta bersedia berpindah apabila arahan dikeluarkan. Sebaiknya elok kita mematuhinya bak kata pepatah, ‘Malang tidak berbau’

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Loading...

wibiya widget